Sebagai ulangkaji serta perkongsian ilmu untuk diriku dan semua umat islam dibumi Allah ini...semuga dapat dimanafaatkan bersama dibulan mulia ini....
Bulan Rejab adalah bulan ketujuh dalam kelendar Islam. Rejab bererti kebesaran. Perkataan Rejab itu sendiri merupakan dasar kata bagi “Attarjib wahuwa atta’zim” yang bermaksud kehebatan dan kebesaran. Bulan ini merupakan bulan yang suci dalam Islam, bahkan dimuliakan sejak zaman Jahiliah lagi. Ia tergolong dalam bulan-bulan haram yang empat. Tanggal 27 Rejab Lailatul Mi’raj iaitu bulan perjalanan Nabi SAW ke langit yang ketujuh.
Menurut kisahnya, pada malam itu Nabi SAW dengan disertai oleh malaikat Jibril, telah menaiki seekor binatang yang dimanakan Buraq. Mereka membuat kunjungan ke Masjidil Aqsa, dan kemudian meneruskan peralanannya naik ke Sidratul Muntaha.
Sebagai memperingati kejadian tersebut, masyarakat Islam menyambut Isra’ Mi’raj dengan mengadakan syarahan-syarahan di masjid-masjid, surau dan sebagainya. Bagi orang mukmin, peristiwa ini berkait rapat dengan Hari Perhitungan, Syurga, Neraka dan kehidupan di alam baqa’ kelak. Malahan lebih penting lagi, adalah hubungan makhluk dan Khaliqnya melalui kewajipan bersolat.
Peristiwa Isra Mi’raj
Setiap tahun pada 27 Rejab seluruh dunia Islam memperingati Isra’ M i’raj Nabi Muhammmad SAW.
Isra’ bererti perjalanan malam yang dilakukan oleh baginda Nabi SAW dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitul Muqaddis, Palestin. Mi’raj pula ialah perjalanan malam yang tiada bandingannya. Peristiwa ini berlaku sekali sahaja dalam sejarah manusia. Ia sebagai mukjizat dan lambang kebesaran dan kehormatan bagi Nabi Muhammad SAW.
Perjalanan ini berlaku sesudah Nabi Muhammad menjadi Rasul, tetapi setahun sebelum baginda berhijrah ke Madinah(ada pendapat mengatakan 3 thn sblm). Baginda melakukan perjalanan ini dengan jasad dan rohnya sekali di dalam keadaan sedar.
Hal ini telah dijelaskan oleh Allah SWT dalam firmannya di dalam surah Isra’ ayat 1 yang bermaksud :-
“Maha Suci Allah SWT yang telah memperjalankan hamba-Nya di malam hari, dari Masjidil Haram di Mekah, Ke Masjidil Aqsa di Baitul Muqaddis, Pelastin, yang Kami berkati di sekitar perjalanannya itu, kerana Kami hendak memperlihatkan kepadanya pertanda Kami. Sesungguhnya Tuhan itu Maha Mendengar lagi Maha Melihat”
Kisah ini bermula ketika Nabi Muhammmad SAW sedang berbaring di Hijr Ismail di sebelah Ka’bah. Muncul malaikat Jibril dan Mikail yang dibantu oleh satu lagi malaikat lain.
Malaikat-Malaikat ini mengangkat Nabi Muhammad SAW dan dibawa ke telaga zamzam. Mereka menelentangkan baginda lalu Malaikat Jibril membelah dada Nabi Muhammad SAW hingga ke pusatnya. Malaikat Jibril mengeluarkan hati Nabi Muhammad SAW dan menyucikannya sebanyak tiga kali dengan menggunakan air zam-zam. Kemudian menghapuskan segala gangguan yang menyakiti berupa darah beku hitam (tempat godaan syaitan). Selepas selesai, malaikat Mikail membawa tiga bejana emas yang berisi hikmat dan iman lalu mengisikannya ke dalam dada baginda Nabi Muhammad SAW. Kemudian mereka mentautkan kembali dada baginda sehingga pulih seperti sediakala.
Selepas pembelahan dada Nabi Muhammad SAW selesai mereka melakukan perjalanan pada malam itu yang bermula dari Masjidil Haram menuju ke Masjidil Aqsa. Seekor Buraq dari syurga yang lengkap dengan pelana telah dikhaskan menjadi tunggangan baginda. Buraq ini juga pernah menjadi kenderaan yang digunakan oleh para Nabi di zaman silam seperti Nabi Ibrahim as sewaktu baginda pergi ke Baitullah dari Syam.
Buraq tunggangan baginda itu berbentuk seekor binatang berwarna putih, besar sedikit daripada keldai dan kecil daripada baghal. Apabila ia berlari, jangkauan kaki hadapannya sejauh mata memandang. Sewaktu mendaki gunung, panjanglah kedua kaki belakangnya dan apabila turun gunung pendeklah pula kedua kaki belakangnya.
Apabila sampainya di Baitul Muqaddis Nabi Muhammad SAW menambatkan Buraq itu di tempat yang pernah ditambatkan oleh para Nabi. Kemudian Nabi Muhammad SAW masuk ke dalam masjid untuk menunaikan sembahyang sunat dua rakaat. Setelah selesai sembahyang Jibril membawakan segelas arak dan segelas susu. Lalu Nabi SAW memilih susu untuk diminumnya. Jibril pun berkata “Anda telah memilih sesuatu pilihan mengikut fitrah”
Sementara itu Imam Ahmad pula telah meriwayatkan daripada Abdullah b Abbas ra beliau menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW sampai di Masjid al-Aqsa, beliau telah mengimamkan sembahyang yang diikuti oleh seluruh para Nabi.
Saat yang paling penting dalam Mi’raj ini ialah ketika Nabi Muhammad SAW diterima mengadap Allah SWT. Baginda dapat melihat zat-Nya Yang Luhur, yang tidak mampu digambarkan oleh akal fikiran dan tidak dapat diceritakan oleh lidah. Ini adalah kerana Maha Suci dan Maha Agung-Nya jika hendak dibandingkan dengan segala sifat-sifat makhluk yang bersifat baharu ini.
Pada malam itu juga Allah SWT mewajibkan solat ke atas umat Nabi Muhammad SAW 50 sembahyang sehari semalam. Tetapi setelah berulang kali Nabi Muhammad SAW bertemu dengan Allah SWT dan akhirnya dikurangkan 5 kali sahaja untuk sehari semalam.
PENGAJARAN DALAM ISRA’ DAN MI’RAJ
Dalam perjalanan Isra’ baginda telah diperlihatkan kepada sekumpulan orang yang berjuang pada jalan Allah SWT, ganjaran mereka diganda-gandakan Allah SWT menjadi tujuh ratus kali ganda. Apa saja perbelanjaan mereka untuk fisabilillah akan diganti oleh Allah SWT. Semasa dalam perjalanan baginda Rasul SAW tercium bau yang sangat harum. Lalu beliau bertanya kepada Jibril berkaitan bau yang begitu harum. Lalu Jibril memberitahu Nabi Muhammad SAW bahawa itu adalah bau tukang sikat puteri Fir’aun. Ketika terjatuh sikat dari tangannya lalu dia berkata dengan nama Allah SWT dan celakalah Fir’aun. Lalu mengadulah puteri Fir’aun kepada bapanya sehinggakan tukang sikat itu dipanggil dan diperintah supaya meninggalkan agama Allah SWT. Kerana mempertahankan aqidah kebenaran dan akhirnya tukang sikat itu dijatuhkan hukuman dimasukkan ke dalam air yang panas. Setelah dicampaknya suami, anak sulungnya dan akhirnya sampailah pula giliran anak bongsunya yang masih menyusu. Lalu bayi itu berkata :- “Wahai ibuku masukkanlah ke dalam kawah itu dengan segera. Jangan ibu tangguh-tangguh lagi kerana kasihanilah diriku. Biar mereka mencampakkan daku setelah itu barulah ibuku masuk ke dalamnya. Mengapa ibu merasa takut sedangkan ibu berada di pihak yang benar”.
Selepas selesai kata-kata dari anaknya tadi, lalu dicampaknya wanita itu berserta anaknya ke dalam kawah.
Seterusnya Jibril membawa Nabi Muhammad SAW berjumpa dengan orang yang memecah-mecahkan kepala mereka sendiri. Setiap kali kepala itu pecah, ia bertaut semula seperti sediakala dan tiada henti-hentinya mereka berbuat begitu. Lalu Nabi Muhammmad SAW bertanya kepada Jibril sebab diseksa sedemikian. Lalu Jibril memaklumkan bahawa mereka itu adalah golongan yang berat kepalanya untuk menunaikan solat-solat fardhu.
Seterusnya Nabi Muhammad SAW diperlihatkan sekumpulan orang yang memakai cawat dan bergerak seperti sekawan unta dan kambing. Mereka menikmati makanan daripada pokok berduri, daun zaqqum yang amat pahit dan batu neraka yang amat panas. Mereka ini adalah golongan yang enggan membayar zakat dari harta mereka.
Seterusnya Nabi Muhammad SAW melihat kaum yang memakan daging mentah yang sudah busuk sedangkan disediakan juga bagi mereka ini daging baik yang sudahpun dimasak. Mereka ini adalah golongan yang mempunyai pasangan yang halal, tetapi mereka keluar mencari pasangan yang haram.
Seterusnya Nabi melihat sebatang kayu yang terletak di suatu persimpangan jalan. Sesiapa sahaja yang lalu di situ pasti ia mengait dan mengoyakkan pakaian mereka. Mereka ini adalah golongan yang berada dipersimpangan jalan yang mengganggu orang yang lalu lalang di situ.
Setelah itu Nabi SAW melihat pula seorang yang berenang di dalam sebatang sungai darah sambil menelan batu-batu. Mereka ini adalah golongan yang memakan riba.
Kemudian Nabi Muhammad SAW melihat pula ada seorang yang sentiasa menambahkan kayu yang hendak dipikulnya. Setiap kali dia cuba mengangkatnya tidak terangkat, dia menambah lagi kayunya. Mereka ini adalah golongan yang menerima amanah yang banyak sehingga tidak terdaya memikulnya lagi, tetapi masih menambah lagi dengan amanah-amanah yang baru.
Semua peristiwa ini adalah merupakan peringatan kepada umat manusia bahawa dalam kehidupan ini, setiap perlakuan akan dibalas dengan setimpalnya dan kita adalah hamba yang sentiasa tertakluk kepada Tuannya iaitu Allah SWT. Wallahua’lam.