Sunday, August 7, 2011

GANJARAN PUASA RAMADAN

Ganjaran Puasa Ramadan

Perkongsian bersama daripada Pusat Islam, Universiti Utara Malaysia. Semoga dibulan mulia ini aku mendapat berkat dari Allah Taala. Amin.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azzawajalla berkata: Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku. Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan; kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa menemui Tuhannya, dan bau busuk (daripada mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau kasturi (musk).”

(Riwayat Bukhari & Muslim)

Huraian Hadis:

1. Puasa merupakan perkara “dharuriah” dalam agama di mana sesiapa yang mengingkari wajibnya puasa maka ia menjadi kufur, manakala sesiapa yang meninggalkan puasa tanpa uzur syarie, hendaklah ia dihukum.

2. Puasa memaksa kita meninggalkan nafsu syahwat walaupun pada perkara yang telah dihalalkan untuk melakukannya (sebelum Ramadan). Dengan itu puasa sebenarnya dikatakan sebagai pendidik (madrasah) untuk kita menjadi lebih tegas, berdisiplin dan sabar.

3. Bulan Ramadan dikenali juga sebagai bulan peningkatan prestasi, di mana Allah memberi pahala yang berlipat kali ganda bagi memotivasikan umat Islam dalam mengaut keuntungan akhirat.

4. Puasa yang dilakukan dengan ikhlas kerana Allah semata-mata akan bernilai sepuluh kebajikan (atau lebih).

5. Ramadan adalah bulan ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah seperti yang dilakukan oleh para salafus-soleh. Dengan itu kita hendaklah benar-benar berusaha agar tidak ada waktu berlalu tanpa amal soleh sepanjang Ramadan ini kerana bulan Ramadan adalah bulan permohonan, munajat, hidayah dan meraih petunjuk kebenaran daripada Allah SWT.

No comments:

Post a Comment