Saturday, January 21, 2012

Bulan Rabiul Awal Bulan Kelahiran Rasulullah



1 Rabiulawal 1433H bersamaan 25 Januari 2012 - Bulan Kelahiran Rasulullah


Bulan ketiga dalam kalendar Hijrah ini membawa satu peristiwa besar yang menjadi ingatan kepada seluruh umat manusia. Nabi junjungan kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam telah diputerakan pada bulan ini iaitu pada 12 Rabiulawal, yang pada tahun ini jatuh pada 25hb Januari 2012. Berbagai acara sambutan diadakan bagi memuliakan hari keputeraan junjungan kita ini. Sebagai ulangkaji untuk diriku untuk aku mengingati bulan yang mulia ini, bulan kelahiran Rasulullah : -

TANGGAL 12 Rabiulawal pada tahun Gajah, tarikh kelahiran Nabi Muhammad s.a.w yang disambut dengan tasbih dan tahmid memuji kebesaran Allah s.w.t. oleh seisi alam semesta sebagai tanda gembira.

Dalam memperingati hari kelahiran Baginda s.a.w, umat Islam di seluruh dunia tanpa mengira warna kulit dan bangsa turut menyatakan kesyukuran dengan melahirkan kegembiraan tatkala meraikan bulan kelahiran Rasulullah ini.

Membesarkan Maulidur Rasul

SETIAP tahun pada 12 Rabiulawal, umat Islam di seluruh dunia terutama di negara kita akan mengadakan majlis memperingati keputeraan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam atau dikenali Maulidur Rasul dengan mengadakan beberapa acara seperti perarakan, ceramah dan sebagainya. Baginda adalah nabi terakhir yang diutus oleh Allah Subhanahu Wataala setelah nabi-nabi yang terdahulu. Hari keputeraan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ini patut dibesarkan untuk memuliakan Baginda dan sebagai tanda kecintaan kita kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Banyak kelebihan dan keistimewaan yang akan dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wataala kepada mereka yang dapat mengadakan atau menghadiri majlis Maulidur Rasul. Kita dapat lihat betapa besarnya kelebihan orang yang memuliakan majlis keputeraan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, kerana bila berniat sahaja hendak mengadakan Maulud Nabi, sudah pun dikira mendapat pahala dan dimuliakan. Sememangnya bernazar untuk melakukan sesuatu yang baik merupakan doa dan dikira amal salih.

Jelas kepada kita bahawa pembalasan Allah Subhanahu Wataala terhadap kebaikan begitu cepat sehinggakan terdetik sahaja di hati hendak berbuat kebaikan, sudah Allah Subhanahu Wataala akan memberi pembalasan yang tiada ternilai. Seseorang yang beriman, kuat bersandar kepada Allah, ketika di dalam kesusahan dia tetap tenang dan hatinya hanya mengadu kepada Allah dan mengharapkan pertolongan dan kasih sayang Allah Subhanahu Wataala.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: "Barangsiapa yang membesarkan hari keputeraanku nescaya aku akan menjadi penolongnya pada hari kiamat dan barangsiapa membelanjakan untuk majlisku seumpama ia membelanjakan emas sebanyak sebuah gunung untuk agama Allah." Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq Radiallahuanhu berkata: "Barangsiapa membesarkan Maulud Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, maka sesungguhnya ia akan menjadi temanku di dalam syurga." Begitu pula As-Sirri As Saqati berkata: "Barangsiapa pergi ke tempat yang ada dibaca di situ Maulud Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam sesungguhnya dia diberi satu kebun daripada kebun-kebun syurga kerana dia pergi ke tempat itu tidak lain kerana cinta kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam."

Keberkatan mengadakan Majlis Maulud itu bukan sahaja didapati oleh orang yang mengadakan majlis itu, tetapi seluruh ahli rumah atau orang yang tinggal di tempat itu turut mendapat keberkatannya.

Jalalaludin As-Sayuti berkata: "Barangsiapa antara orang Islam yang dibacakan di dalam rumahnya Maulid Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, nescaya Allah Subhanahu Wataala akan menghilangkan dan menjauhkan kemarau dan kecelakaan, bala, penderitaan, kebencian, hasad, kejahatan dan kecurian terhadap ahli-ahli rumah itu dan apabila dia mati, Allah Subhanahu Wataala akan memudahkan dia menjawab akan soalan-soalan Mungkar dan Nakir dan dia akan mendapat tempat bersama orang-orang yang benar di sisi Tuhan yang Maha Kuasa lagi Maha Besar Kerajaan-Nya."

Beliau berkata lagi: "Tiada sebuah rumah atau masjid atau tempat-tempat yang dibaca di dalamnya akan Maulid Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam melainkan malaikat-malaikat melindungi ahli-ahli tempat itu dan Allah Subhanahu Wataala akan melimpahkan rahmat-Nya kepada mereka dan malaikat-malaikat yang berpangkat besar seperti Jibril, Mikail, Israfil mendoakan kebaikan bagi orang-orang yang menganjurkan dan menyebabkan adanya majlis Maulid Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam itu."

Di samping meraikan Rabiulawal sebagai bulan kelahiran Rasulullah s.a.w, terdapat beberapa peristiwa penting yang berlaku di sepanjang bulan kelahiran Rasulullah s.a.w. Peristiwa-peristiwa ini mempunyai nilai lahir kepada umat Islam dalam mengenang sirah perjuangan Nabi Muhammad memancarkan sinar Islam kepada umat manusia. Umat Islam juga dianjurkan melakukan amalan-amalan sunat pada bulan ini.

Terdapat dua pendapat tentang kelahiran Nabi Muhammad. Ulama-ulama Syiah berpandangan bahawa tarikh kelahiran Rasulullah ialah pada 17 Rabiulawal dan sebahagian ulama (Sunnah) menyatakan pada hari Isnin 12 Rabiulawal.

Hari kelahiran Nabi Muhammad adalah hari paling agung kepada umat Islam. Perbezaan pendapat ini bagaimanapun tidak wajar dijadikan pertikaian kerana apa yang lebih penting ialah kelahiran Nabi s.a.w adalah dalam bulan Rabiulawal. Al-Syaikh dalam kitab al-Misbah berpendapat, Rasulullah lahir ketika terbit fajar pada hari Jumaat bulan Rabiulawal dalam tahun Gajah.

Dalam menyambut hari kelahiran Nabi Muhammad s.a.w atau lebih dikenali sebagai ‘Maulid Nabi’ ini, umat Islam digalakkan berpuasa sunat, mandi sunat, berziarah ke makam Baginda dan mengerjakan amalan-amalan mulia serta memperbanyakkan tasbih, tahmid dan selawat.

Peristiwa Rasulullah s.a.w dikepung oleh para pengikut Abu Jahal yang merancang untuk membunuh Baginda berlaku pada hari pertama Rabiulawal. Abu Jahal merancang untuk membunuh Rasulullah s.a.w ekoran tidak bersetuju dengan amalan Islam yang menghalang penyembahan berhala, sebaliknya hanya kepada Allah s.w.t.

Ketika itu, Saidina Ali bin Abi Talib rela berkorban mempertahankan Rasulullah daripada rancangan jahat puak kafir tersebut dengan menawarkan dirinya untuk berada di tempat tidur Baginda demi keselamatannya.

Tindakan Saidina Ali itu menggambarkan betapa luhurnya rasa kecintaan seorang sahabat Rasulullah terhadap Baginda sehingga sanggup berkorban untuknya.

Justeru, umat Islam disunatkan untuk berpuasa sebagai tanda mensyukuri nikmat Allah kerana dengan limpah kurnia-Nya, Rasulullah dan Saidina Ali selamat daripada rancangan jahat puak musyrikin Quraisy.

Mengikut sesetengah pendapat, umat Islam digalakkan menziarahi makam Baginda s.a.w, memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah.

Amalan bersedekah pula merupakan amalan yang paling digalakkan di dalam Islam. Ia tidak ditetapkan waktu sebaliknya ia boleh dilakukan pada bila-bila masa.

Rasulullah s.a.w bernikah dengan Siti Khadijah binti Khuwailid pada hari ke sepuluh bulan ini. Dan pada bulan yang sama pada tahun Gajah, bapa saudara Rasulullah iaitu Abdul Mutalib meninggal dunia.

Setelah Rasulullah keluar daripada Jabal Thur, Baginda menuju Madinah setelah mendapat perintah Allah s.w.t untuk melakukan hijrah yang pertama.

Ahli sejarah Islam berpendapat, Baginda tiba di Quba pada 12 Rabiulawal sebelum menetap di sana selama empat hari. Baginda meneruskan perjalanan ke Madinah pada 16 Rabiulawal dan singgah di Wadi Ranuna’ atau Wadi Slim.

Di sinilah Rasulullah s.a.w menunaikan solat Jumaat pertama di Madinah bersama kira-kira 100 orang Islam yang bersama Baginda ketika itu. Oleh demikian, sebuah masjid bernama Masjid Al-Jumaah telah dibina bersempena dengan peristiwa tersebut.

Hasbi Ash Shiddiqi dalam pengantar Tafsir Al-Bayan menyatakan, ayat Nubuwwah yang menyatakan Nabi Muhammad di angkat sebagai Nabi turun pada bulan Rabiulawal. Di dalam kitab ini dinyatakan bahawa wahyu Allah yang pertama ialah surah Al-Alaq dan diikuti surah al-Mudattsir.

Sementara itu, Jabir dan Ibnu Abbas berpendapat, peristiwa Israk dan Mikraj Nabi Muhammad s.a.w berlaku pada hari Isnin 12 Rabiulawal, tiga tahun sebelum berlakunya peristiwa Hijrah.

Sesungguhnya, peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam bulan Rabiulawal mengandungi nilai yang amat tinggi dalam perkembangan Islam. Perjuangan Rasulullah s.a.w menyebarkan syiar Islam ke seluruh pelosok alam tidak berlaku dalam masa yang singkat.

Ada banyak peristiwa penting yang telah dicatatkan oleh sejarah jatuh bangunnya tamadun Islam di dalam bulan Rabiulawal ini dan diantaranya ialah:

  1. Kelahiran junjungan besar kita, Muhammad Rasulullah saw. Mengikut sumber-sumber mengatakan bahawa nabi lahir pada 12 Rabiul Awwal tahun gajah bersamaan 23 April 571M. Ini adalah sumber yang masyhur dan menjadi amalan umat Islam di Malaysia mengadakan sambutan Maulidurrasul pada 12 Rabiul Awwal di setiap tahun sehinggalah sekarang. Walau bagaimanapun ada sumber yang lain mengatakan bahawa nabi lahir pada 9 Rabiul Awwal tahun Gajah. Perbezaan pendapat ini akan disentuh lebih lanjut di bahagian Maulidur Rasul.
  2. Perlantikan Nabi menjadi Rasul. Dibulan Rabiulawal inilah Nabi saw diangkat menjadi Rasul. Ketika ini Nabi saw berumur 40 tahun. Maka dengan ini bermulah dakwah baginda secara rasmi di Makkah al-Mukarramah.
  3. Hijrah Tarikh hijrah adalah tarikh tibanya Rasulullah di Madinah al-Munawwarah pada ketika itu di sebut Yatsrib. Rasulullah sampai di Quba' pada hari Isnin 8 Rabiulawal dan Baginda sampai di Kota Madinah pada hari Jumaat 12 Rabiulawal dan Baginda menunaikan solat Jumaat yang pertama.
  4. Peperangan Banyak peperangan yang telah terjadi pada zaman Rasulullah saw diantara tentera Islam dan tentera kuffar. Diantara peperangan yang berlaku di bulan Rabiulawal ialah peperangan Safwan (Badar pertama), Bawat, Zi Amar (Ghatfan), Bani An-Nadhir, Daumatul Jandal dan peperangan Bani Lahyan.
  5. Wafatnya junjungan besar kita, Muhammad Rasulullah saw. Rasulullah telah wafat pada hari Isnin 12 Rabiulawal 11H bersamaan 7 Jun 632M. Baginda wafat di rumah isterinya Aisyah ra dan dikebumikan di Madinah al-Munawwarah.
  6. Abu Bakar ra. menjadi khalifah Pada hari Rasulullah wafat, para sahabat tidak mahu menangguh urusan pentadbiran kerajaan dan segera membai'ah saidina Abu Bakar ra di Dewan Bani Sa'idah. Ini adalah kerana urusan pentadbiran negara tidak boleh terhenti walau seketika dan ia adalah nadi sesebuah kerajaan. Sebahagian sahabat pula menguruskan pengkebumian jenazah Rasulullah saw yang diketuai oleh Saidina Ali ra Ahli Bait Rasulullah saw.
  7. Pembukaan Iraq Tentera Islam yang dipimpin oleh Khalid Ibni Walid ra telah memasuki Iraq dan bermulalah pemerintahan Islam di bumi Iraq di zaman saidina Abu Bakar ra.
  8. Pembukaan Baitul Muqaddis Salahuddin al-Ayubi telah memimpin tentera Islam menewaskan tentera Salib dan seterusnya membuka pintu bagi pembukaan Baitul Muqaddis pada tahun 583 H.
  9. Kejatuhan Empayar kerajaan Islam Sepanyol Kubu terakhir tentera Islam di Andalusia telah ditumbangkan oleh tentera Sepanyol yang dipimpin oleh Ferdinando dan Isabella pada tahun 897H. Bermulalah kemusnahan tempat-tempat bersejarah warisan umat Islam, masjid-masjid ditukar menjadi gereja dan muzium dan tiada lagi suara azan di negara tersebut.

No comments:

Post a Comment