Raya Haji, Raya Korban dan Aidil Adha, sememangnya mempunyai pengertian yang sama. Bersempena dengan Raya Korban pada tahun ini saya ingin mengucapkan...........
"SELAMAT HARI RAYA AIDUL ADHA KEPADA SEMUA BLOGGER YANG MENGENALI SAYA DAN KELUARGA, KAUM-KELUARGA, SAHABAT HANDAI, RAKAN-RAKAN SEKERJA, RAKAN-RAKAN ALUMNI SMJ TAHUN 76 -80. YANG PULANG KEKAMPUNG TU BERHATI-HATI DI JALAN RAYA KETIKA MEMANDU"
Sejarah Hari Raya Korban
Hari raya korban merupakan hari memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim yang sanggup untuk mengorbankan anaknya(Nabi Ismail) demi tuntutan Allah Yang Maha Esa. Nabi Ibrahim juga sinonim dengan gelaran Khalil Ullah iaitu bermaksud “Sahabat Allah“.
10 Zulhijjah juga merupakan tarikh dimana Nabi Adam dan Hawa di usir dari Syurga ke bumi kemudiannya bertemu kembali di padang Arafah.
Sumber rujukan adalah http://ms.wikipedia.org/wiki/Hari Raya Aidil Adha
SEJENAK MEMAHAMI RAYA KORBAN : SALAM AIDIL AHDA
Bulan Zulhijjah adalah bulan terakhir dalam taqwim Hijriyah. Di bulan ini banyak keutamaannya, kerana di bulan Zulhijjah ini umat Islam yang berkemampuan diwajibkan menunaikan ibadat Haji di Makkah Al-Mukarramah, bulan Hari Raya Aidil Adha, bulan umat Islam digalakkan melakukan ibadah korban dengan menyembelih binatang ternakan seperti unta, lembu, kerbau dan kambing dan juga bulan umat Islam dianjurkan supaya memperbanyakkan beramal soleh.
Di bulan ini umat Islam disunatkan berpuasa, sunat Hari Arafah pada 9 Zulhijjah. Iaitu sehari sebelum umat Islam meraikan Aidil Adha.
”Barangsiapa yang menghidupkan empat malam, maka wajiblah dia memperolehi syurga; iaitu Malam Tarwiyah (pada 8 Zulhijjah), Malam Arafah (pada 9 Zulhijjah), Malam Nahar (pada malam 10 Zulhijjah) dan Malam Aidil Fitri (pada malam 1 Syawal)”. (HR Ibnu ‘Asakir dari Muaz R.A).
Dan umat Islam juga disunatkan bertasbih, bertakbir serta bertahmid pada malam 10 Zulhijjah sehingga ke Solat Sunat Aidil Adha. Kemudian takbir, tasbih dan tahmid itu disunatkan lagi pada setiap kali selepas solat Fardu sehingga berakhir selepas Solat Asar 13 Zulhijjah.
Malah bermula dari 10 hingga 13 Zulhijjah pula umat Islam yang berkemampuan dianjurkan atau disunatkan menyembelih binatang ternak untuk dikorbankan.
Berkorban dengan melakukan penyembelihan binatang ternakan selama 4 hari berturut-turut (pada 10, 11, 12 dan 13 ) di bulan Zulhijjah bagi orang-orang yang berkemampuan, adalah satu tuntutan syariat yang telah ditentukan.
Amalan korban dan ibadah korban ini tidak ada di bulan yang lain, hanya di bulan Zulhijjah. Ia merupakan pengorbanan dari segi harta benda untuk mencapai darjat hamba Allah yang bertaqwa, sebagaimana Allah S.W.T menyatakan perintah berkorban ini di dalam Al-Quran firman Nya:
Maksudnya:
”Tidaklah daging-daging (unta yang disembelih/dikorbankan itu) dan darah-darahnya (yang mengalir itu) dapat mencapai (keredhaan) Allah, akan tetapi ketaqwaan (dalam hati) kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu (dapat pula) mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat kebaikan”. (Surah . Al-Hajj, ayat: 37).
Ayat ini menjelaskan bahawa bukanlah daging korban, darahnya yang mengalir ketika disembelih atau kulit bulu atau daging-daging yang dilapah, dimasak dan dimakan itu yang boleh mencapai dan mendapat keredhaan Allah S.W.T, tetapi hakikat sebenarnya ialah sifat taqwa yang ada di dalam hati hamba-hambaNya yang ikhlas dan benar ketika mahu menyembelih binatang ternaknya itu adalah semata-mata kerana Allah S.W.T, bukan kerana yang lain. Misalnya kerana mahu dipandang kawan atau masyarakat sekeliling bahawa dialah satu-satunya orang yang setiap tahun menyembelih korban atau menghadiahkan seekor lembu, kerbau dan kambing untuk disembelih supaya satu masa nanti orang akan ingat jasanya itu.
Pendek kata, pengajaran besar daripada ayat ini ialah untuk mendidik jiwa umat Islam supaya beramal soleh dan berkorbanlah dengan penuh taqwa, ikhlas dan semata-mata kerana Allah S.W.T.
Pengertian korban dalam Islam bukanlah semata-mata dikhususkan kepada menyembelih binatang ternak pada bulan Zulhijjah sahaja, akan tetapi semangat korban seperti ini juga sewajar diluaskan skop maknanya, sehingga mencapai maksud pengorbanan jiwa, akal, ilmu, tenaga, idea, pemikiran, masa, kepakaran, kepentingan diri atau kemahuan hawa nafsu dan sebagainya yang boleh disumbangkan untuk jalan-jalan Allah; untuk dakwah Islam, pendidikan umat Islam, ekonomi umat Islam, kehidupan sosial umat Islam, pembangunan, kemajuan, perpaduan umat Islam dan sebagainya.
Sesungguhnya umat Islam tidak akan maju ke depan, dengan hanya melihat orang lain maju, tidak bersedia untuk berkorban. Kita mungkin akan terus ketinggalan dalam serba-serbinya apabila umat Islam terus malas berfikir, lemah semangat, tiada kreativiti hatta ketika khatib berkhutbah pun atau semasa melakukan ibadah pun, kita masih lemah dan tertidur.
Justeru, ciri dan kreteria umat Islam yang beriman itu adalah umat yang kuat. Kuat fizikal, kuat semangat, kuat atau banyak ilmu, kuat ibadahnya, kuat kerjanya, rajin berusaha, bijak bertindak, kuat semangat berkorbannya dan sebagainya. Baginda Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:
”Orang beriman yang kuat itu lebih baik dan lebih disukai Allah daripada orang beriman yang lemah dalam segala kebaikan. Peliharalah apa-apa yang menguntungkan kamu (di dunia dan akhirat) dan mohonlah pertolongan Allah, dan janganlah kamu lemah semangat..” (HR Muslim).
“Ya Allah, Berilah Kami Rezeki Berhaji ke Baitullah Al-Haram”
Beberapa kesimpulan tentang perkara-perkara penting untuk umat Islam perhatikan bagi tujuan menyambut Hari Raya Aidil Adha dan mengisi keutamaan bulan Zulhijjah bulan terakhir dalam tahun Hijriyah, antara perkara tersebut ialah:
1. Memperbanyakkan amal ibadah dan amal soleh untuk menghidupkan malam-malam 8, 9 dan 10 Zulhijjah dengan solat sunat, zikir, istighfar, membaca Al-Quran dan lain-lain.
2. Bertakbir, bertasbih dan bertahmid pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah untuk membesarkan kemahaagungan Allah S.W.T yang mencipta alam semesta dan manusia.
3. Sunat menyembelih binatang ternak untuk dikorbankan pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah bagi umat Islam yang berkemampuan.
4. Taqwa dan ikhlas adalah puncak sifat orang beriman untuk mencapai keredhaan di sisi Allah S.W.T.
5. Sifat atau sikap suka berkorban adalah sifat terpuji yang banyak manfaatnya untuk memperkasakan serta membangun kehidupan umat Islam dalam apa jua bidang. Kerana itu, umat Islam dituntut berkorban harta, jiwa, tenaga, ilmu, pemikiran, masa hatta kepentingan diri demi untuk Islam, Allah S.W.T dan Rasul- Nya.
6. Allah S.W.T sangat suka hamba-hambaNya yang kuat. Kuat iman, kuat amalan, kuat/banyak ilmu, idea dan fikiran yang baik, kuat/sihat rohani dan fizikal, kuat/baik akhlak dan penampilan dan sebagainya.
Sumber artikel adalah daripada : Zulhijjah, bulan beramal dan berkorban
http://www.jheains.sabah.gov.my/sebaranamweb/jumaat/j02.pdf
No comments:
Post a Comment