Sunday, August 21, 2011

SAMBUTAN ULANG TAHUN KEMERDEKAAN

Add ImageMAJLIS SAMBUTAN ULANG TAHUN KEMERDEKAAN YANG KE 54
Tarikh : 22 Ogos 2011
Tempat : FoyerPerpustakaan Sultanah Bahiyah
Masa : 8.15 pagi




Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak mengingatkan kakitangan universiti ini untuk memelihara dan menjaga kemerdekaan negara yang berada pada usia yang masih muda dengan mengelakkan perpecahan sesama sendiri.

“Kita perlu ingat usia kemerdekaan negara baru menjangkau 54 tahun, iaitu masih lagi muda untuk sebuah negara dijajah kembali. Ini dapat dilihat pada hari ini, di mana perpecahan sesama kita sedang berlaku dan tiada lagi kesepakatan hingga terlupa agenda perjuangan kita sebelum ini dalam menuntut kemerdekaan negara,” katanya.

Dr Mohamed Mustafa juga berkata, tidak salah untuk setiap individu di Malaysia untuk berlainan fahaman tetapi janganlah sehingga berpecah. Ini kerana pengertian merdeka itu juga membawa maksud penentuan nasib sendiri.

“Kita perlu insaf dan mengambil iktibar daripada negara-negara yang lain yang sama-sama mengecapi kemerdekaan sama seperti kita, tetapi sekarang di ambang kehancuran akibat perpecahan,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Kemerdekaan UUM 2011.

Sementara itu, pada Perhimpunan Kemerdekaan yang diadakan di Dataran Perdana UUM pagi tadi, Dr Mohamed Mustafa mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan yang hadir untuk berkumpul bersama untuk satu tujuan iaitu mengingati kemerdekaan negara.

Pada perhimpunan itu juga, beliau turut mengingatkan kakitangan pentadbiran dan akademik yang hadir bahawa penubuhan universiti ini juga merupakan sebahagian daripada sejarah kemerdekaan negara.

“UUM ditubuhkan untuk memberi makna kepada kemerdekaan kerana komunis tidak mengiktiraf kemerdekaan negara. Malah, bumi Sintok ini merupakan kawasan hitam, iaitu medan petempuran sehinggalah kawasan ini diputihkan pada tahun 1989 selepas Perjanjian Hatyai.

“Tun Dr Mahathir memilih untuk membangunkan universiti ini bukan sahaja untuk memberi makna dengan mengisi kemerdekaan malah untuk memberikan pendidikan yang berkualiti pada anak bangsa untuk terus memelihara kemerdekaan negara,” tambah beliau lagi.

Pada perhimpunan yang turut dihadiri oleh Ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti itu juga turut berlangsung Pelancaran Tabung Rayuan Hari Pahlawan.

No comments:

Post a Comment